Malam al-Qadr (atau lailatul qadr) adalah malam yang Allah muliakan dengan banyaknya keutamaan dan kebaikan. Ia adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan. Ibadah yang dikerjakan pada malam tersebut setanding dengan amalan kebaikan selama seribu bulan, iaitu 83 tahun 4 bulan. Sedangkan umur umat Muhammad puratanya hanyalah sekitar 60 hingga 70 tahun sebagaimana disebutkan dalam hadis.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
أَعْمَارُ أُمَّتِي مَا بَيْنَ السِّتِّينَ إِلَى السَّبْعِينَ، وَأَقَلُّهُمْ مَنْ يَجُوزُ ذَلِكَ
“Umur umatku adalah di antara 60 hingga 70 tahun. Yang melebihi usia tersebut adalah amat sedikit sekali.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 3550)
Tetapi Allah telah memuliakan mereka dengan adanya malam al-Qadr tersebut di setiap tahun pada bulan Ramadhan untuk beramal dengan ganjaran pahala selama amalan seribu bulan.
Kata al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H), “Malaikat banyak yang turun pada malam tersebut kerana banyaknya kebaikan. Para malaikat turun bersamaan dengan turunnya keberkahan dan rahmat.” (Tafsir Ibnu Katsir, 5/444)
Kata Syaikh Muhammad B. Soleh al-‘Utsaimin rahimahullah, “Para Malaikat turun pada malam al-Qadr dengan membawa kebaikan, rahmat, dan barakah. Malam tersebut disebut malam kesejahteraan kerana banyaknya hamba Allah yang selamat dari siksaan disebabkan ketaatannya kepada Allah.” (Majalis Syahri Ramadhan, m/s. 252-253).
Baginda juga bersabda:
مَنْ قَامَ لَيْلَةَ القَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ، وَمَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Sesiapa yang menghidupkan malam al-Qadr dengan keimanan dan mengharap pahala Allah, maka diampunkan dosanya yang telah lalu. Dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana keimanan dan mengharap pahala Allah, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1901)
Demikianlah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjelaskan betapa Ramadhan penuh dengan peluang keampunan dosa-dosa. Antaranya dengan berpuasa dan menghidupkan malam al-Qadr dengan keimanan dan mengharap pahala Allah Subhanahu wa Ta’ala. Maka ya Allah, ampunilah kami dari dosa-dosa kami.